Followers

Friday 17 February 2017

KENAPA AKU TIDAK SOKONG RUU 355




Hari ini akan berlangsung perhimpunan RUU 355 yang dianjurkan oleh Pas. Mungkin ramai yang menyokong perhimpunan ini, tapi aku mempunyai pendapat berbeza terhadap perhimpunan RUU 355 hari ini dan rang undang-undang itu sendiri.
Pertamanya, rang undang-undang syariah telah pun beberapa kali dipinda tanpa memerlukan apa-apa perhimpunan pun. Ia hanya perlu dibentangkan dan dibahaskan di parlimen. kenapa perlu memanggil rakyat berkumpul? Yang akan meluluskan ialah mereka yang membahaskan di parlimen, bukan rakyat jelata! Perhimpunan ini hanya membazir dan kelihatan seperti hanya helah politik dan bukannya tindakan jujur mahu memertabatkan Islam.
Keduanya, RUU hanya undang-undang manusia dan bukan hukum Islam sebenar. Antara yang dicadangkan ialah menaikkan hukuman ke atas pesalah khalwat dan minum arak hingga 30 tahun penjara/100 sebatan rotan/denda RM100,000. Semua ini adalah ciptaan manusia dan bukan dari Al-Quran, jadi tidak salah jika ada yang tidak bersetuju atau menolak. Menolak RUU355 ini tidak bermakna menolak Islam atau hukum Allah.
Ketiganya, lihat dari segi keadilan, terutama bila Malaysia adalah negara berbilang bangsa tetapi undang-undang syariah hanya untuk orang-orang Islam. Seorang yang berkhalwat atau minum arak boleh dipenjara hingga 30 tahun, tetapi perogol bersiri seperti Selva Kumar hanya dipenjarakan 24 tahun. Adakah ini sesuatu yang adil? Adakah pesalah khalwat atau peminum arak lebih bahaya dari perogol bersiri?
Seperkara lagi, pesalah khalwat hanya ditangkap dari hotel-hotel murah atau rumah pensendirian biasa, tetapi bukan dari hotel-hotel 5-bintang atau banglo-banglo besar. Jadi, hanya golongan kurang mampu atau remaja yang biasanya ditangkap, bukannya orang yang lebih berada. Adakah ini sesuatu yang adil? Proses penangkapan khalwat itu sendiri melibatkan pencerobohan ke tempat persendirian seperti bilik-bilik hotel atau rumah. Adakah ini sesuatu yang dituntut Islam? Malah sudah berlaku banyak kes kematian bila pesalah khalwat terjatuh ketika cuba melarikan diri dari serbuan- adakah ini dituntut Islam?

Islam perlu dilihat dari perspektif yang lebih luas dan bukan soal hukum-hakam semata-mata. Dan sebarang hukuman perlu menitik-beratkan keadilan untuk semua, bukannya hanya menghukum golongan tertentu sahaja. Bila Islam digunakan untuk politik atau semata-mata kerana mahu menunjukkan seseorang itu lebih Islam dari orang lain, ketidak -adilan dan kesilapan akan berlaku.


No comments:

Post a Comment