Followers

Tuesday 28 August 2012

Tidur sebantal, mimpi lain-lain

TIDUR sebantal tetapi mimpi lain-lain. Ungkapan ini telah lama dikeluarkan oleh penganalisa dan pemimpin-pemimpin politik untuk pakatan PAS, PKR dan DAP, namun ramai yang memandang sinis.
Hari ini, apa yang dimaksudkan itu semakin jelas. Ia jelas bukan sahaja berdasarkan tindak-tanduk kepartian malah keputusan-keputusan yang dibuat dalam Pakatan.

Isu hudud dan Negara Islam sudah lama menjadi isu besar antara PAS dan DAP. Walaupun PAS akhirnya mengugurkan perjuangan Negara Islam, namun isu hudud masih mengundang persengketaan di khalayak ramai yang menyebabkan beberapa kenyataan akhbar dari kedua-dua pihak yang membuktikan isu ini tidak pernah dan tidak akan selesai.

Pebalahan terbaru ialah tema menyambut hari kemerdekaan.  Tema yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Pusat iaitu `55 Tahun Merdeka Janji Ditepati' telah dibangkang sekeras-kerasnya oleh pakatan pembangkang kerana ia dilihat cenderung kepada kerajaan BN. 

Namun, sekiranya apa yang dilakukan itu adalah atas dasar membawa kebaikan kepada rakyat, mendatangkan manfaat untuk masa depan negara, mengapa perlu dibangkang? Janji ditepati adalah sesuatu yang dituntut oleh rakyat selama ini. Kerajaan tidak boleh berjanji tetapi tidak menunaikan jnji-janji tersebut.

Pakatan perlu sedar bahawa tanggungjawab pembangkang dalam sesebuah negara bukanlah membangkang apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan yang memerintah. Tetapi tugas pembangkang adalah untuk memastikan  "check and balance" untuk tadbir urus negara berjalan dengan baik.

Yang lebih parah lagi, di sebalik bangkangan tersebut, mereka sendiri gagal mencapai kata sepakat. justeru, buat pertama kali dalam sejarah, tema sambutan yang selama ini menyatu-padukan rakyat berbilang kaum di negara ini, nampak carca-marba.

Selangor dan Pulau Pinang pada mulanya menggunakan tema `Sebangsa, Senegara, Sejiwa', dan PAS di Kelantan pula memilih `Menerajui Perubahan', manakala `Terus Berbakti' digunakan oleh kerajaan negeri Kedah.

Carca-marba itu menyebabkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian terpaksa tampil untuk memperbetulkan keadaan dan mengatakan, pakatan pembangkang akhirnya bersetuju dengan tema `Sebangsa, Senegara, Sejiwa.'

Namun, ada sesuatu yang menarik tentang tema ini kerana di peringkat awal, hanya Selangor dan Pulau Pinang sahaja bersetuju untuk menggunakannya tetapi tidak Kedah dan Kelantan. Amat jelas kepimpinan serta matlamat PAS amat berbeza dengan sekutu-sekutunya PKR dan DAP. Jika mereka sekata, seiring dan sejalan, masalah atau carca-marba yang berlaku ini tidak akan terjadi.

Namun akhirnya, PAS mungkin terpaksa akur kerana mereka sangat memerlukan dua sekutunya ini untuk menghadapi pilihan raya.

Jika soal hudud yang menjadi agenda perjuangan PAS sekian lama pun pemimpin-pemimpinnya boleh bertolak-ansur demi pilihan raya, mungkin kali ini mereka masih mampu untuk menutup sebelah mata. 

Namun, ini semua dilakukan dalam keadaan sebelum pilihan raya atau lebih tepat lagi sebelum mereka mempunyai kuasa. Ditakdirkan mereka menang, apakah jaminan pembangkang kepada rakyat bahawa mereka mampu mentadbir dengan baik dan melaksanakan semua yang dijanjikan?

Dan mampukah PAS bertindak sendirian untuk melaksanakan hudud di kala negara ini ditadbir pakatan pembangkang?

No comments:

Post a Comment