AKHBAR Sin Chew Daily bertarikh 21 Februari 2017 pula
membincangkan mengenai satu penyakit yang dihadapi oleh pakatan pembangkang
iaitu rakyat akan sentiasa akur dengan kehendak mereka selain mendakwa pakatan pembangkang
lebih baik daripada BN.
Kupasan tentang perkara itu dimuatkan dalam artikel bertajuk
“Cara Tangani Krisis yang Tidak Matang” hasil tulisan Chuang Min di ruangan
Pandangan Yuanlu halaman 19. Penulis artikel ini menegaskan bahawa selepas
PRU13 rakyat sudah tidak sepenuhnya
memberi sokongan kepada mereka atau meletakkan pakatan pembangkang pada
kedudukan yang tinggi.
Walaupun pakatan pembangkang bangga dengan kemenangan mereka
di Pulau Pinang dan Selangor dan seterusnya membentuk kerajaan di dua negeri
berkenaan, percayalah pengundi ketika ini sedang berfikir mengenai keupayaan
sebenar pakatan pembangkang untuk memerintah negara ini- adakah mereka lebih baik daripada kerajaan BN
jika menang dalam PRU akan datang.
Sudah tentu rakyat ketika ini akan melihat dan kemudian
menilai corak pentadbiran kerajaan DAP dan PKR di kedua-dua negeri secara lebih
dekat sebelum membuat sebarang keputusan. Yang pasti, pakatan pembangkang kini
dilihat tidak lagi bersatu lebih-lebih lagi proses pembahagian kerusi yang
dikatakan tidak menemui kata sepakat.
Disebabkan faktor itu juga telah berlaku perpecahan dalam
pakatan pembangkang yang akhirnya menyebabkan keyakinan penyokong kian merosot.
Dalam pada itu, masalah besar kebanyakan ahli politik di
Malaysia termasuk pakatan pembangkang ialah mereka susah untuk mengaku
bersalah.
Sebagai contoh terdapat satu temu bual khas pihak kami
dengan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta Setiausaha
Publisiti DAP, Tony Pua dan Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching
untuk mendapatkan reaksi mereka sama ada pengundi berpuas hati atau tidak
dengan pakatan pembangkang.
Apabila ditanya ketiga-tiga mereka menjawab masih ada ruang
untuk dibuat penambahbaikan. Apa pun secara ringkasnya boleh dikatakan
kebanyakan pemimpin dalam pakatan pembangkang sudah lupa erti merendah diri.
Mereka hidup dalam dunia mereka sahaja. Mereka menganggap
jika rakyat tidak puas hati, perasaan itu hanya ditujukan kepada pihak
kerajaan. Segala dilakukan oleh pakatan pembangkang pasti akan diterima baik
oleh rakyat. Jika inilah yang dijadikan pegangan, sudah pasti pada PRU14, mereka
akan menjerat diri sendiri.